Tuesday, June 19, 2007

Saya dengar, tapi memualkan

KADANG-kadang kita tak dapat elak daripada bercakap tentang benda yang kecil-kecil.

Saya tentu sahaja menerima baik kritikan teman-teman agar saya lebih menonjol di dalam Pilihanraya Kecil Ijok, tempohari, sebelum Kongres Keadilan. Dalam pertemuan tertutup, saya juga menjelaskan bagaimana keadaan yang berlaku dan segala rintangannya.

Semalam, saya menerima satu lagi pandangan liar yang menyatakan saya turun ke Ijok semata-mata karena menjelang pemilihan AMK, dan hasrat bertanding Ketua AMK Pusat. Pandangan itu, secara politiknya, sangat kreatif.

Dinyatakan di sini, beberapa siri kerja dan tugasan sepanjang pilihanraya kecil sejak 1999. Antaranya, Teluk Kemang (Negeri Sembilan-1999), sebelum ke Lunas, Indera Kayangan, Anak Bukit, Machap, Ijok...

Arakian, saya senang sekali dengan tuduhan liar itu, yang katanya, "Hasmi turun ke Ijok hanya karena dia mahu bertanding Ketua AMK!" Antara yang menuduh, dengan saya, saya kira saya lebih awal menghidupkan bahagian, berbanding-nya yang terkesing-kesing mencari tempat berlabuh!

Sekejap lagi dalam perjalanan balek kampung--biarpun dua hari lepas saya sudah menziarah keluarga dua beranak yang mati, juga di kampung saya--karena hujung minggu ini (Sabtu), adek saya, Nurhayani Hashim melangsungkan perkahwinan dengan Syahnizam Padollah. Di sana, ada tujuan politik? Jangan tanya saya. Saya tidak ada jawapan yang kreatif. Atau tidak perlu bertanya, arakian akan tercipta sahaja pantun-pantun yang janggal, adanya...

[kembali ke halaman utama]

Monday, June 18, 2007

Sebelum itu, jumpa AMK Hulu Langat

MALAM sebelum saya balek kampung untuk ziarah keluarga dua beranak yang mati lemas Ahad lalu, saya sempat ke Hulu Langat. Dijemput untuk menyuntik semangat kepada pasukan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di sana, terutama untuk persiapan Pilihanraya Umum.

Hujan renyai-renyai. Turut bersama ialah Ketua AMK Selangor, Saudara Halimey dan Ketua Bahagian Hulu Langat, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang sehari kemudian dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan negeri Selangor. Tahniah!

Sempat saya jelaskan mengapa saya bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda: pertama kali penjelasan kepada khalayak ahli parti secara terbuka; juga bagaimana saya tidak punya masalah dengan mana-mana individu pemimpin kalangan AMK, mahupun pemimpin parti ini sendiri. Hasrat bertanding adalah jalan politik jangka jauh, selain tetap juga saya sedar apabila dikatakan "masuk politik" juga dengan wujudnya ruang "takdir"--bagaimana pun diikhtiarkan untuk meniti tangga politik, tetapi ada kudrat manusia yang tidak tertanding dengan iradat Tuhan.

Mereka ketawa apabila disebutkan nama kampung saya, "kampung Parit Kuda."

Seperti laporan surat khabar hari Sabtu itu, "Parit Kuda Darat"... bukan pula bermakna di kawasan Semerah ada pula "Parit Kuda Laut." Tak ada "kuda darat", tak ada "kuda laut"! "Darat" bermakna masuk ke dalam kampung, atau agak pendalaman. Mereka ketawa lagi.

Lebih kurang enam puloh ahli AMK, yang rata-ratanya adalah Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM). Antaranya saya kenal, karena membantu kempen Tim Pencerahan sewaktu di dalam Kongres Nasional yang lalu. Saya ucapakan terima kaseh...

Juga dijelaskan bagaimana perlunya anak-anak muda sama-sama mula memikirkan perjuangan jangka sederhana dan panjang--mungkin untuk lima, sepuluh atau dua puloh tahun kehadapan--selain hasrat tidak berbelah bagi untuk menobatkan Ketua Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin tertinggi negara dalam tempoh sedekat-dekatnya. Fokus untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum yang tidak boleh dialih-alih lagi.

Namun bagi saya, generasi muda tidak ada pilihan, malah sudah sampai masanya mulai mampu melihat politik (dan "nasib" sendiri) yang lebih jauh daripada sekadar politik yang terhidang depan mata, sekarang.

Tinggal politik sentimen melulu. Masuk ke ruang politik rasional. Tidak begitu penting sama ada saya kalah atau menang tempohari. Masa depan adalah masa anak-anak muda ini, yang membakar ayam dan ikan pari di panggang api. Yang ketawa sesama sendiri karena dapat bertemu dan berbual. Mereka nampaknya faham, dan saya senang hati walaupun sebelum ini dimomokan kononnya "pencerahan" tidak mungkin difahami ahli akar umbi.

Apabila ditanya pengalaman melalui saat 'getir' tiga bulan kempen sebelum sampai Seremban, saya senyum. Itu biar saya simpan dalam jantung hati dahulu, ia, walau manis, walau tidak... bukan sekarang untuk diceritakan. Melainkan kemudian. Di suatu masa yang bukan di malam itu.

[kembali ke halaman utama]